No. 41 Jalan Anggerik 3A, Cawangan Bukit Sentosa 2, Pertama kali Dibuka pendaftaran pelajar sessi 2012 dan PENDAFTARAN BARU 2016 BERMULA
PASTI IS
Wednesday, 31 July 2013
JANGAN PAKSA KANAK-KANAK BERPUASA ,SOLAT DIUTAMAKAN DULU!
Mulakan secara berperingkat
Mungkin ada yang bertanya, umur berapa tahun sebaiknya si anak diajar berpuasa. Realitinya, tidak ada dalil khusus dalam syariat yang menekankan mengenai mendidik anak berpuasa, berbeza dengan sembahyang. Rasulullah SAW menekankan agar ibu bapa menyuruh anak belajar sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan sekiranya ketika berusia 10 tahun, si anak tadi enggan sembahyang maka si anak dibenarkan diberi hukuman dengan pukulan sekadar untuk mengajar atau menakutkan. Mengambil kira syarat berpuasa pula, diwajibkan kepada yang baligh iaitu usia bermula sembilan tahun. Namun, jika tak biasa dan hanya diminta si anak berpuasa tika telah diwajibkan, pastinya akan memberikan dugaan dan cabaran besar buat si anak.
Lantas, sebaiknya si anak diajar berpuasa bermula usia seawal empat atau lima tahun iaitu ketika si anak telah mampu untuk meluahkan isi hati mengenai keadaan dirinya. Ajarkan si anak berpuasa secara bertempoh. Boleh mulakan dengan bersahur kemudian tidak mengambil sarapan dan berbuka tika waktu makan tengahari. Seterusnya biasakan dengan tempoh yang lebih lama, mungkin berbuka tika azan waktu solat Asar dan akhirnya cukup sehari dengan berbuka ketika masuknya waktu solat Maghrib. Membiasakan diri sebegini akan dapat memberikan kekuatan kepada si anak untuk berpuasa penuh dan tak terlalu ‘sakit’ tika menghadapi puasa yang sebenar. Paling penting, si anak yang telah terbiasa berpuasa akan rasa ralat jika sengaja meninggalkannya.
Janjikan ganjaran
Tidak salah jika ibu bapa menjanjikan suatu ganjaran buat si anak sekiranya berpuasa. Sebagai contoh, jikia si anak baru belajar berpuasa, boleh dijanjikan RM10 jika dapat berpuasa penuh sehari dan RM5 jika dapat berpuasa separuh hari. Jika anak telah berusia tujuh tahun, tika tempoh disiplin diri sewajibnya ditekankan menurut syariat (mengambil kira perintah solat), janjikan hanya jika si anak berpuasa penuh dan tidak akan memperolehi sebarang ganjaran jika berpuasa separuh hari.
Selain ganjaran berbentuk wang, si anak yang berpuasa boleh dijanjikan dengan ganjaran mengikut kehendak hatinya. Mungkin si anak berminat untuk menikmati hidangan tertentu atau memperolehi sesuatu maka cabarlah si anak untuk berpuasa penuh dan kehendak hatinya akan dipenuhi. Namun, ganjaran hanya sesuai untuk anak yang baru belajar berpuasa dan di bawah umur baligh. Jika si anak telah baligh, perlu bertegas menyuruh si anak berpuasa bagi melaksanakan perintah Allah dan bukan demi ganjaran semata-mata. Tika si anak berusia sembilan tahun, tak perlu dijanjikan sebarang ganjaran namun boleh diwujudkan ganjaran tersebut sebagai kejutan saat akhir iaitu diserahkan tanpa si anak maklum terlebih dahulu tika hari raya sebagai pendidikan bahawa berpuasa adalah perintah Allah yang wajib ditunaikan dan sebagai ibu bapa, ganjaran anda berikan kerana berbangga dengan prestasi si anak dalam usaha menjadi anak yang soleh atau solehah.
Wujudkan persaingan
Selain ganjaran, ibu bapa juga boleh wujudkan persaingan sihat antara anak-anak, jika memiliki lebih daripada seorang anak. Malah, andai memiliki hanya seorang anak yang boleh dilatih berpuasa, masih boleh wujudkan persaingan antara si anak dengan sepupunya dan boleh juga wujudkan persaingan dengan diri anda sendiri. Contohnya, anda boleh ceritakan kepada anak anda mengenai kisah anda belajar berpuasa tika kecil dulu tetapi pastikan si anak mendapat manfaat dan semangat, bukan menjadikan si anak lebih tidak minat berpuasa. Mungkin boleh ceritakan mengenai anda yang tidur hampir seharian kerana nak juga mempertahankan puasa dan selitkan, anda yakin anak anda akan lebih bersemangat sebab anda kenal anak anda sebagai seorang yang lebih kuat berbanding tika anda kecil dahulu. Secara tidak langsung, si anak akan rasa tercabar untuk menandingi kehebatan anda ketika kecil seterusnya akan menjadikan anda berbangga dengan dirinya.
Berikan perhatian dan pujian
Bagi seorang kanak-kanak, mainan atau wang yang diberikan sebagai ganjaran berpuasa tidaklah sehebat mana dibandingkan dengan pujian dan perhatian yang diperolehinya daripada anda sebagai ibu atau bapa. Lantas, dalam kekalutan anda bekerja juga kepenatan anda berpuasa, pastikan anda tetap memberikan perhatian kepada anak anda. Anda boleh ambil tahu mengenai perasaannya selepas berjaya berpuasa, boleh juga ambil tahu hidangan yang diidamkan untuk dinikmati tika berbuka, boleh juga tanyakan menu kegemaran untuk menambah selera ketika bersahur. Perhatian yang anda berikan akan menambah semangat si anak untuk berpuasa kerana yakin, susah payahnya berusaha untuk berpuasa dihargai oleh anda.
Ingat! Anak-anak kecil masih belum faham konsep pahala dijanjikan Allah Taala lantas sebagai ibu bapa, biasakan dengan ganjaran dunia ketika si kecil belajar berpuasa tetapi tetap masukkan dalam minda mereka, puasa mereka dinilai oleh Allah sebagai pahala untuk kehidupan abadi di syurga kerana anak-anak yang masih suci ini boleh memahami keindahan syurga dan kehidupan abadi di sana nanti, insyaAllah.
Jangan paksa
Paling penting, jangan paksa anak anda berpuasa. Jika keadaan dikenal pasti sebagai tidak menyokong usaha anak anda untuk terus berpuasa seperti keletihan yang melampau sebab tidak bersahur, pujuk si anak berbuka. Perlu pastikan anak anda sentiasa dalam keadaan yang dijamin kesihatan dan keselamatannya. Tanamkan dalam minda, anak anda baru belajar berpuasa...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment